1) AL-QURAN Diutus Dalam Bahasa Kaumnya Agar Mudah Difahami
Maksud firman Allah swt dalam Surah Ibrahim ayat 4,
”Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum- hukum Allah) kepada mereka’.
Merujuk tafsir dalam kitab Tafsir Al-Quran oleh Al-Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad Milatu;
Allah menjelaskan tentang pengiriman Rasul yang menjadi utusan-Nya kepada sesuatu umat, maka tiap-tiap Rasul yang diutus adalah ditugaskan untuk menyampaikan agama dengan menggunakan bahasa pertuturan yang digunakan oleh umat itu sendiri SUPAYA MUDAH MEREKA MEMAHAMI perkara-perkara yang disampaikannya-sama ada berupa perintah atau berupa tegahan.
Adapun kitab al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab yang dibaca dan difahami oleh umat bangsa Arab maka tidak ada sebab mengapa mereka tidak dapat memahami kandungan dan pengajarannya. Tidak ada sebab mengapa mereka berhalangan dari mempelajarinya, untuk mengetahui tentang hukum-hukum agama Islam tentang perkara halal dan haram begitu pula tentang peraturan yang baik dalam pergaulan agar mereka hidup dalam kebahagian di dunia dan akhirat.
Walaupun Nabi Muhammad saw diutus kepada sekalian manusia sedangkan mereka mempunyai bahasa yang berlain-lainan dan pertuturan mereka juga bermacam-macam, namun terutusnya Baginda itu dengan menggunakan BAHASA KAUMNYA, yakni bahasa Arab, ini adalah lebih utama daripada menggunakan bahasa yang bukan kaumnya. Sebab kaumnyalah nanti yang akan memberikan penerangan kepada bangsa-bangsa yang lain dengan sejelas-jelasnya sehingga mereka dapat memahami ajaran Islam sebagaimana orang Arab memahaminya.
2) PPSMI Bercanggah Dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Akta Pendidikan 1967 & Akta Bahasa Kebangsaan
Pejuang bahasa melihat bahawa PPSMI ini bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan, perkara 152, Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib, dan Akta pendidikan 1967 dan Akta Bahasa Kebangsaan. Sebab itu, Gapena berani membuat laporan polis sebagai bantahan kerana PPSMI bercangah dengan undang-undang.
3) Laporan UNESCO
Laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Ini sejajar dengan resolusi pendidikan yang diluluskan oleh UNESCO (1951:691) yang berbunyi:
"Berkenaan kepentingan pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di sekolah."
(On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.),
4) Konsep “Belajar Bahasa” vs Konsep “Belajar Ilmu”
Kajian akademik juga mendapati bahawa terdapat dua konsep yang bercanggah dengan PPSMI, iaitu konsep “belajar bahasa” dan konsep “belajar ilmu”. Bagi ahli-ahli bahasa, kita perlu membezakan antara ‘belajar ilmu’ dengan ‘belajar bahasa’. Dua perkara ini berbeza. Mereka menyatakan bahawa kita tidak boleh mengajar sesuatu subjek kepada pelajar dengan bahasa yang mereka tidak fahami. Ahli bahasa menimbulkan persoalan bagaiamana pelajar hendak memahami sesatu ilmu jika mereka diajar dalam bahasa yang susah difahami. Biarlah kita belajar ilmu matematik dan sains dalam bahasa Melayu agar kita mudah memahaminya dan belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek tersendiri.
Sebenarnya, tidak seorang ahli bahasa pun yang melarang seorang pun daripada rakyat Malaysia untuk menguasai bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris. Pejuang bahasa ingin melihat masyarakat Malaysia maju dengan bahasa sendiri. Pejuang bahasa yakin bahasa Melayu dapat memajukan Negara dan dapat menghuraikan pelbagai ilmu. Bahasa Melayu mempunyai kekuatan dari segi kedudukan penutur keempat terbanyak di dunia, tatabahasa yang teratur, dari segi istilah sains dan teknologi dan sebagainya.
5) Kaji Selidik Akademik
i) Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina)
Kajian "Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid" mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.
Kajian ini mendapati PPSMI hanya mampu menunjukkan peningkatan minimum kepada penguasaan bahasa Inggeris sebanyak empat peratus dan pada masa yang sama mengurangkan minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik.
Kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmuah Nasional ini menggunakan kepakaran 53 pakar bahasa dan melibatkan tujuh universiti awam dibuat pada Jun hingga Disember 2008. Antara universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.
Kos kajian adalah sebanyak RM470,000, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara. Seramai 553 guru termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah turut dipilih sebagai sampel bagi kajian yang dijalankan selama tujuh bulan.
Antara hasil kajian juga mendapati PPSMI:
- menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
- PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi.
Hasil kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003. Laporan eksekutif kajian ini diedarkan buat pertama kali kepada umum di Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur pada 18 Mac 2009.
ii) Kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007)
Kajian antarabangsa yang dinamakan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) dibuat oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Kajian penting ini walaupun tidak merujuk secara khusus kepada dasar PPSMI tetapi ia mengenai pencapaian matematik dan sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) yang membabitkan 59 negara termasuk Malaysia pada tahun 2007.
Hasil kajian menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan sains merosot dengan ketara. Skor matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.
Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi matematik dan 40 mata bagi sains adalah besar, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu. Antara hasil kajian, didapati hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada 2003.
Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18 peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475) pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia adalah paling ketara berbanding negara lain.
Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga kategori matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS 2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45 peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus), England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus).
Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun (61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat (31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus). Secara bandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketiga-tiga kategori pencapaian sains juga merosot secara mendadak.
Laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian matematik dan sains ialah di kebanyakan negara mendapati pelajar belajar matematik dan sains dalam bahasa keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua/asing.
Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan. Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.
iii) Kajian Prof Dr Nor Hashimah Jalaludin
Satu kajian telah dilakukan oleh Prof Dr Nor Hashimah pada tahun 2004 menunjukkan 75% pelajar setuju belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mendatangkan masalah pemahaman dan 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan Sains dan Matematik dengan berkesan. Kajian sama yang dibuat ke atas guru pula mendapati 96% guru setuju pelajar semakin kurang minat dalam Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris dan 98% guru setuju pelajar mempunyai masalah memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sampel bagi kajian ini adalah seramai 971 orang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dalam aliran kebangsaan dan jenis kebangsaan di bandar dan luar bandar. Sementara bagi guru ia melibatkan 43 orang guru yang berpengalaman mengajar 1 hingga 20 tahun berumur melebihi 25 tahun pada tahun kajian dibuat.
iv) Kajian UPSI
Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menerbitkan hasil kajian mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, berasaskan tiga kali tinjauan soal selidik dan ujian terhadap murid-murid Tahun Lima, iaitu pada bulan-bulan Februari 2007 (sampel bersaiz 1564 orang) dari 27 buah sekolah rendah; Julai 2007 (636 orang) dari 13 buah sekolah; dan Januari 2008 (1703 orang) dari 28 buah sekolah. Menurut abstrak kajian tersebut;
Lebih 80% murid menyatakan yang guru Matematik dan Sains mereka mengguna campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70% murid menyatakan mereka ‘tidak faham/kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan dan 80% Sains dalam Bahasa Inggeris, dan mereka ‘sukar/agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi murid dalam Ujian Matematik dan Sains rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Bagi kohort Januari 2008 skor min Matematik 7.89 daripada skor maksimum 20.0; dan skor min Sains hanya 4.08 daripada maksimum 14.00. Skor min Bahasa Inggeris juga rendah iaitu 11.87 daripada skor maksimum 31.0. Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. … Dapatan dari kajian-kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai, bahkan negatif: ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris pelajar.
Kajian ini turut menerima bidasan oleh sesetengah pihak kerana kajiannya yang tidak kurang kepincangannya. Antara kelemahan utama yang ditekankan adalah: kelemahan guru berbahasa Inggeris dikaitkan dengan kegagalan dasar padahal ini masih boleh dibaiki; kekurangan analisa statistik dalam data yang memerlukan sampel terlibat dibahagi mengikut latar belakang sekolah dan murid; ketiadaan kelompok kawalan sebagai alat perbandingan statistik untuk mengukuhkan hujahnya, memandangkan semua sekolah mengajar dalam bahasa Inggeris; perbandingan hasil soalan berbahasa Inggeris dan soalan berbahasa Malaysia, yang mana hanya 37.3% menjawab soalan berbahasa Malaysia berkenaan dengan betul berbanding 39.6% yang menepati soalan berbahasa Inggeris itu, menjadikan hasil kajian ini seolah-olah tidak menyokong dengan sebaiknya saranan kajian ini agar memansuhkan dasar ini.
6) Reaksi Dari Bidang Pendidikan
i) Kesan negatif
Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh 11 pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga bahasa Cina di kalangan murid-murid; Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.
ii) Bahasa setempat lebih sesuai
Memorandum 11 pertubuhan tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Ini sejajar dengan resolusi pendidikan yang diluluskan oleh UNESCO (1951:691) yang berbunyi:
Berkenaan kepentingan pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di sekolah.
(On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.),
Selain itu, memorandum juga merujuk laporan bertajuk Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries ditulis oleh Santosh Mehrotra pada tahun 1998. Mehrotra menegaskan kepentingan mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara dalam buku yang dikarangnya bersama Enrique Delamonica bertajuk Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth yang mencatatkan pemerhatian terhadap persada pendidikan di benua Asia Selatan dan Afrika sub-Sahara, di mana adalah didapati bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi kemiskinan, diiringi kemungkinan keciciran bertambah.
iii) Dasar memihak kepada keluarga di bandar
Bill Templer, seorang pensyarah kanan yang melawat di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, berhujah dalam satu surat kepada akhbar, bahawa dasar ini berat sebelah kepada anak-anak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi, sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka.
7) Reaksi Awam
i) Bantahan golongan sasterawan, budayawan dan cendekiawan
Kebanyakan cendekiawan antaranya Prof Diraja Ungku Aziz termasuk golongan sasterawan dan budayawan menyatakan penentangan kepada dasar PPSMI. Ini termasuk kesemua Sasterawan Negara yang masih hidup di antaranya A. Samad Said, Prof Muhammad Hj Salleh dan Anwar Ridhwan bersatu menyatakan pendirian menentang dasar PPSMI. Mereka menyatakan penentangan mereka dalam satu kenyataan bersama di sidang media pada 5 Mei 2009.
Enam alasan yang diberikan diringkaskan seperti berikut:
- Malaysia seharusnya mencontohi sistem pendidikan negara Scandinavia, Belanda, Belgium dan Switzerland yang rakyatnya boleh berbahasa Inggeris dengan tidak mengabaikan bahasa ibunda.
- Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang bukan sahaja datang daripada negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak berasal daripada negara bukan berbahasa Inggeris seperti Perancis, Jerman, Jepun, Spanyol, Switzerland, India dan Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa lnggeris tetapi ilmu yang baru dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan.
- Beberapa masalah yang dihadapi Malaysia bukan berpunca daripada penguasaan bahasa Inggeris. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah oleh Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah tetapi masih tidak cemerlang dalam pentadbiran, ekonomi dan ilmu. Sebaliknya di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi.
- Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".
- Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan: yang pertama warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial, iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.
- Mereka menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemaskini. Mereka tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajarkan. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa, MaIaysia perlu mempunyai sebuah bahasa penyatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.
No comments:
Post a Comment